Isnin, 14 September 2009

salam aidilfitri 2009


SMS #1.

Masak Lemang Sambil Berdiri

Hendak Makan Di Aidilfitri

Nak Hantar Kad Raya Posmen Dah Cuti

SMS Sahaja Boleh Diberi.....Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

SMS #2.

Andai Tangan Belum Sempat Berjabat

Lisan Belum Sempat Terucap

Berjauhan Bukannya Kita Terpisah Hubungan

Setidak-tidaknya SMS Masih Terungkap

"Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin

"SMS #3.

Katak Kenyang Lalu Tertidur

Gajah Pitam Lantas Terjatuh

Andai Tak Sampai Tangan Menghulur

Kupohon Keampunan Dari Jauh....Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

SMS #4.

Mengingati Teman Tanda Persahabatan

Mengingati Mati Sumber Kekuatan Iman

Mengingati Akhirat Semulia-Mulia Ingatan

Dan Mengingati Allah Itulah Ketenangan......

Maaf Zahir Batin & Selamat Hari Raya Aidilfitri

SMS #5.

Kucing Oren Memeluk Lemang

Peluk Tak Lepas Sampai Tertidur

Semakin Dekat Raya Menjelang

Maaf Dipinta Di Hati Luhur..............

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

SMS #6.

Memancing Ikan Di Tepi Paya

Dapat Seekor Si Ikan Patin

Selamat Menyambut Hari Raya

Maaf Zahir Dan Batin

SMS #7.

Kadang-Kadang Allah Sembunyikan Matahari

DIA Datangkan Hujan, Kilat & Petir

Kita Bersedih Dan Tertanya-Tanya Ke Mana Hilangnya Matahari

Rupa-Rupanya Allah Nak hadiahkan Pelangi

Allah Minta Kita Berpuasa

DIA Hadiahkan Pahala & Hari Raya.................

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

SMS #8.

Masak Lemang Sambil Berdiri

Hendak Makan Di Aidilfitri

Nak Hantar Kad Raya Posmen Dah Cuti

SMS Sahaja Dapat Kuberi...

Bukan Lupa Tradisi Tapi Ikut Teknologi Terkini

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin

SMS #10.

Ya Allah, Di Akhir Ramadhan Yang Barokah Ini,

Insyaallah Akan Muncul Aidilfitri Yang Mulia

Engkau Muliakan & Sayangilah Penerima Ucapan Ini

Berkatilah Keluarganya, Sihatkan Tubuh Badannya,

Limpahkanlah Rezeki Yang Halal Untuknya

Jauhkannya Dari Fitnah, Penganiayaan & Penghinaan

Suburkan Benih Keimanan

Dengan Penuh Rasa Kasih Sayang

Serta Taqwa Tanpa Alasan

Makbulkan Doa Serta Cita-Citanya Yang Murni

Amin, Ya Rabbal A'lamin.....Salam Aidilfitri

SMS #11.

Hidup Ini Sibuk Sangat,

Nak Ucap Assalamualaikum Kadang-Kadang Tak Sempat

Kadang-Kadang Gurauan Lebih-Lebih,

Tak Sempat Minta Maaf
Tapi Tak Bererti Kita Lupa Orang Kat Sana
Sebelum Sampai Ke Penghujung Ramadhan,
Sebelum Terlupa Hajat Nak Sampaikan
Sebelum Orang Berpusu-Pusu Nak Hantar Ucapan
Dan Sebelum Network / Line Traffic Jam.....
Saya Ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir & Batin

Jumaat, 8 Mei 2009

MARAH KERANA SAYANG

"Orang tua zaman mak ayah kita, `garang` itu satu formula. Entah kenapa dengan anak-anak zaman sekarang, formula itu tidak menjadi. Tidak boleh marah-marah. Kena berlembut mengambil hati mereka. Pening akak memikirkannya," begitulah lebih kurang perkongsian buah fikiran yang dilontarkan oleh Kak Ina pada petang itu. Kami yang masih belum berumahtangga hanya mendengar. Tidak tahu bagaimana hendak memberikan pendapat.

"Marah Kerana Sayang"

Selepas beberapa ketika, saya teringatkan dialog di atas. Mencuba-cuba mencari sebab mengapa formula itu tidak menjadi zaman kini.
Jika dahulu, pasti ramai antara kita yang pernah mendengar cerita tentang ibu bapa yang garang. Disebalik cerita-cerita itu, ibu bapa yang garang inilah mendidik anak-anak dengan baik sekali. Garangnya mereka, solat anak-anak terjaga. Garangnya mereka, anak-anak mendengar kata dan tidak berani melawan. Jauh sekali bercakap kasar mahupun biadab dengan orang tua. Begitulah garangnya orang tua zaman dahulu kala. Garang mereka mendidik. Garang mereka kerana sayang.
Hal yang sama turut kedengaran di sekolah-sekolah semasa zaman mak ayah kita. Guru-guru pada ketika itu garang yang amat! Tetapi entah kenapa, anak murid masih hormat. Guru yang garang inilah yang akhirnya akan paling dikenang! Guru garang, mengajarnya berkualiti. Mungkin disebabkan anak murid jadi takut andai gagal. Anak murid menjadi serius di dalam kelas kerana garangnya guru mereka. Atau mungkin kerana guru itu memang seorang guru yang jelas tanggungjawabnya mendidik anak bangsa. Guru garang dihormati dan paling diingati. Itu zaman mak ayah kita.

Marah Cara Moden
Zaman kini, zaman kita. Sudah menjadi fenomena biasa. Anak-anak akan bertindak liar, andai dimarahi. Hati mereka jadi keras dan melawan. Pantang dimarah, pasti merajuk. Manjakah anak-anak zaman sekarang?
Jika di sekolah, fenomena yang sama. Guru-guru yang garang masih wujud. Tapi entah kenapa, garangnya tidak menjadi. Jangankan dihormati, silap haribulan, guru itu dimarahi kembali.
Maaf tiada fakta, (saya perlu buat kajian mendalam ni, wah..nak jadi pakar motivasi kah?). Semuanya hanyalah beberapa pemerhatian semasa saya memikirkan persoalan diatas.Mengapa agaknya garang era kini tidak menjadi? Marah tidak melahirkan hormat dan takut?
Ada satu perkara yang saya fikirkan, hanya satu fikiran. Kerana apa kita marah? Jika zaman dahulu kala, nilai-nilai kekeluargaan dan betapa eratnya silaturahim itulah yang membuatkan seorang ibu dan bapa marah. Kerana sayang pada anak-anak. Kerana ingin mendidik anak-anak.
Namun zaman kini, mengapa agaknya kita marah pada anak-anak?
Tekanan kerja yang tidak henti. Kepenatan mencari rezeki. Kurang masa beriadah bersama famili. Semua ini menyumbang kepada punca marah. Hidup yang menekan. Hati jadi kurang sabar. Maka, tidak mustahil andai kita memarahi orang lain (atau anak-anak dalam konteks artikel ini) adalah disebabkan oleh tekanan hidup. Kita marah bukan sebab sayang atau mendidik!

Entahlah, saya belum mempunyai anak sendiri. Anak menakan adalah. Cumanya, perasaan ini dapat saya kenal pasti apabila wujud perasaan marah. Samada marah terhadap orang di sekeliling, atau marah pada diri sendiri. Perasaan tidak puas hati ini kebanyakkannya wujud disebabkan oleh tekanan hidup. Bukan marah kerana Allah.

Secara psikologinya (tanpa merujuk mana-mana pakar, hanya teori sendiri, haha), seorang anak itu boleh sahaja dimarahi, mengakui kesilapannya dan menerima, andai mereka jelas kenapa mereka di marahi. Namun, kebanyakkan anak-anak zaman kini, keliru barang kali, apakah salah mereka. Sudahlah kurang masa bersama ibu bapa, apabila berjumpa, anak-anak terasa ingin bermanja, namun disangkakan mengada-ngada dan dimarahi pula.
"Mama, ajar Ain main games ni,"
"Mama penatlah sayang, esok sahaja ok?"
"Ala mama, esok mama tak ada juga"
"Mama kata esok, esoklah!"

Bingung, kenapa dimarahi...

Itu mungkin bukan marah yang biasa. Tapi bagi yang mendengar, itulah satu bentuk marah yang dilontarkan.
Jika di sekolah, guru yang marah, kadangkala dilihat dua kali lima perangainya dengan anak-anak murid. Seorang yang bertindak garang, haruslah punya kredibiliti supaya mereka dipandang tinggi. Andai guru yang garang sekadar ingin menunjukkan lagak, masuk kelas pon tidak...sukar bagi anak-anak murid menerimanya.
"Suruh kami berdisiplin, cikgu sendiri dua kali lima."
Marah Kerana Allah
"Orang muslim yang kuat imannya tidak mencintai sesuatu kecuali kerana Allah. Dan tidak pula membenci sesuatu, kecuali benci kerana Allah. Oleh kerana itu ia akan mencintai atau membenci sesuatu kalau Allah dan Rasul-Nya mencintai atau membencinya".
Ayat di atas dipetik dari sebuah kitab ‘PEDOMAN HIDUP MUSLIM' bab 7 Adab Bersaudara kerana Allah cinta dan benci kerana Allah.
Selalu kita mendengar ayat-ayat suka dan cinta kerana Allah. Mari kita fahamkan dan hayati pula makna BENCI KERANA ALLAH.
Benci menimbulkan rasa tidak puas hati lalu menimbulkan marah. Namun, kenapa kita benci? Mengapa kita membenci itulah akan menjawab persoalan mengapa kita marah. Andai kita benci sesuatu kerana ianya perkara yang turut dibenci oleh Allah dan Rasulnya, alhamdulillah.
Namun, andai kita benci disebabkan emosi. Benci memarakkan marah disebabkan oleh tekanan hidup, maka sama-sama kita muhasabah balik iman kita. Mungkin marah yang tidak kerana Allah inilah membuatkan insan-insan yang dimarahi tidak dapat menerima. Hati mereka tidak menjadi hormat dan takut, bahkan menjadi keras seperti batu.
Niat marah itu akan menimbulkan kesan pada orang yang dimarahi.

Kepentingan Niat
Jika berbicara tentang niat, saya amat gemar kisah ini. Kisah Saidina Ali, sepupu Rasulullah.Saidina Ali dalam posisi menghunus pedang, siap membunuh orang musyrik itu. Apa yang terjadi kemudian? Orang musyrik itu meludah ke arah Saidina Ali. Saidina Ali menghentikan rencanya untuk membunuh orang musyrik tersebut.
"Aku tidak mahu membunuhmu bukan kerana Allah" begitu mungkin pemikiran Saidina Ali.Pedang yang sama, orang yang sama. Saidina Ali bisa saja meneruskan untuk membunuh musuhnya. Akan tetapi, Saidina Ali adalah orang yang mulia. Sehingga memelihara betul niat di balik tindakannya. Membunuh kerana Allah adalah sebuah bentuk penghambaan kepada-Nya. Membunuh kerana amarah antara manusia adalah bentuk penghambaan atas hawa nafsu.
Niat akan membezakan nilai dari sebuah tindakan. Seseorang boleh saja melakukan tindakan yang sama (marah), akan tetapi dengan niat yang berbeza, maka nilai tindakannya pun berbeza. Tindakannya sama, nilai tindakannya berbeza.
Semua orang boleh marah-marah. Marah memudaratkan atau marah mengelokkan.
Justeru, marah kerana sayang?
Saat penantian adalah pencarian diri.
Allah lebih tahu segalanya

InsyaAllah....

PETIKAN DARI www.iluvislam.com

Marah Kerana Sayang

Oleh: ZaffanKhalid

Editor: NuurZaffan

Ahad, 22 Februari 2009

Usah Putus Asa

Ketahuilah olehmu sahabatku...

Jika kau merasa lelah dan tak berdaya dari usaha yang sepertinya sia-sia...
Allah SWT tahu betapa keras engkau sudah berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama dan hatimu masih terasa pedihnya...
Allah SWT sudahpun menghitung airmatamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu sedang menunggu sesuatu dan waktu terasa berlalu begitu sahaja ...
Allah SWT sedang menunggu bersama denganmu.

Ketika kau merasa sendirian dan teman-temanmu terlalu sibuk untuk menghubungimu...
Allah SWT selalu berada disampingmu.

Ketika kau fikir bahawa kau sudah mencuba segala-galanya dan tidak tahu hendak membuat keputusan ...
Allah SWT punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal dan kau mula merasa tertekan...
Allah SWT dapat menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan...
Allah SWT sedang berbisik kepadamu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kau merasa ingin mengucapkan kesyukuran,
Allah SWT telah memberkatimu.

Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kau dipenuhi ketakjuban,
Allah SWT telah tersenyum kepadamu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digenapi,
Allah SWT sudah membuka matamu dan memanggilmu dengan namamu.

Maka ingatlah..walau dimanapun, atau kemanapun kau menghadap...

Allah SWT TAHU

7 perkara yang patut dibuat diawal pagi

Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :

1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

2. Tekad Bermotivasi.
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.

Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.

Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.

Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

6. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.

Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.


"...looser keep loosing because they think losing is bad...winner keep winning because simply they think, loosing is part og WINNING..."

JAGA 7 SUNNAH RASULULLAH S.A.W

Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Sabtu, 31 Januari 2009




jangan salahkan musuh...


“Jangan salahkan musuh. Itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah”


Musuh-musuh Islam memang tidak pernah sepi daripada menyerang dan menggugat akidah umat Islam. Mereka berusaha dengan pelbagai cara, kaedah dan saluran. Mereka menggunakan saluran politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, hiburan, media masa, filem dan sebagainya. Kalaupun tidak sampai memusnahkan akidah mereka tetap mahukan agar umat Islam ini sekurang-kurangnya bersikap acuh tak acuh kepada agamanya. Mereka sudah cukup berpuas hati sekiranya umat Islam ini bersikap ‘toleransi’ terhadap agama dalam erti kata tidak meninggalkannya secara total dan tidak pula menganutnya secara total. Agama dipilih mengikut selera dan dipraktikkan dalam acara tertentu sahaja. Agama hanya dijadikan aktiviti bermusim dan sebagai agenda persatuan atau pertubuhan untuk dimuatkan di dalam laporan tahunan. Kini umat Islam berdepan dengan masalah yang sangat ketara bahawa agama hanya sekadar pada nama,tanpa penghayatan dan bukan lagi menjadi suatu cara hidup. Cuba kita teliti dan hitung, dari mula bangun tidur hingga kembali kepada tidur, banyak mana ajaran Islam yang kita hayati. Banyak mana Islam dijadikan panduan dalam segala urusan hidup. Banyak mana kita membawa Tuhan bersama dalam mengendalikan segala urusan harian. Kalau tidak ada black metal, kehidupan kita tetap jauh dari Tuhan. Kalau bukan kerana black metal, hati kita tidak ada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Hati kita tetap cuai dan lalai bahkan sangat menderhakai Tuhan. Sebab itu jangan salahkan musuh. Itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah. Lemah dalam melawan nafsu serakah. Lemah dalam membawa Tuhan dalam urusan hidup. Akhirnya Tuhan biarkan umat Islam diratah-ratah, dibuli dan diperkotak-katikkan oleh musuh. Ini belum lagi diperhitungkan untung nasib di akhirat kelak. Entah di Neraka mana yang kita ini bakal dihumban lantaran terlalu amat derhaka kepada Allah SWT. Betapa tidak, jauh sekali umat Islam ini berjuang untuk membangunkan empayar, menguasai bumi yang merupakan milik Tuhan. Malah membenteng diri daripada ditembusi akidah dan budaya kufar pun tidak berupaya. Apabila Rasulullah SAW diutus, masyarakat yang dihadapi baginda SAW itu bukan sahaja mereka musyrik dan kufar, bahkan mereka juga turut dilanda masalah sosial yang amat dahsyat. Sebut saja apa jenis kejahatan manusia, semuanya mereka lakukan terang-terangan tanpa segan silu. Namun sejarah telah membuktikan, dalam tempoh yang singkat Rasulullah berjaya menukar sejahat-jahat manusia kepada ‘khairunnas’ - sebaik-baik manusia. Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang fitrahnya sama saja di zaman mana pun mereka berada dan di mana pun mereka berada, bangsa apa dan keturunan apa pun. Bagaimana dan ubat apa yang dipakai oleh Rasulullah SAW, maka cara dan ubat yang sama juga yang mesti digunakan untuk mengubati penyakit manusia, iaitu: Pertama: Rasulullah SAW menanamkan iman. Mengetahui Rukun Iman bukan bererti sudah beriman, mungkin itu sekadar boleh mengesahkan iman semata-mata. Keimanan yang berjaya ditanam ke dalam hati masyarakat waktu itu seperti digambarkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman, apabila disebut nama Allah gementar hati mereka.” Begitu takut dan gerun kepada Tuhan hingga gementar hati, yang mereka tidak lagi takut selain daripada Allah SWT. Mereka bukan saja tidak terjejas atau tidak terusik hatinya oleh sebarang budaya, bahkan mereka sendiri sanggup memperjuangkan Tuhan dan agama-Nya hingga tergadai nyawa. Kedua: Rasulullah SAW mencanangkan kehidupan akhirat yang jauh lebih baik dan utama. Sebenarnya tidak ada tandingan dan bandingan tentang kehidupan akhirat. Bermula dari alam barzakh maka bermulalah era baru kehidupan manusia yang bakal ditempuh adalah suatu alam baru tanpa dapat difikirkan dan dikhayalkan. Tiada sebarang imaginasi yang dapat mencapai alam akhirat. Segala-galanya adalah alam rasa yang akal tidak mampu untuk berfungsi sedikit pun. Kehidupan dunia ini umpama mimpi saja, seolah-olah bukan realiti jika dinisbahkan dengan kehidupan di akhirat. Satu hari di akhirat menyamai seribu tahun di dunia. Kehidupan yang kekal abadi tanpa penghujungnya. Usia kita yang sekitar 60 atau 70 tahun di dunia ini kalau dikira pada perjalanan masa di akhirat hanyalah beberapa minit saja. Menyedari hakikat bahawa hidup ini amat singkat berbanding akhirat yang kekal abadi itu, tentulah tidak ada manusia waras yang sanggup mensia-siakan hidup ini begitu sahaja. Apatah lagi, sudah tentulah takut untuk berbuat dosa dan maksiat walau sedetik. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya untuk kesedapan yang sekelumit ini. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya takut kepada penderitaan yang sekelumit ini. Tentulah tidak sanggup berlalai-lalai dengan kehidupan sekejap ini sehingga terpaksa menanggung derita yang amat panjang lagi dahsyat, dan terlepas dari nikmat syurga yang tidak dapat dibayangkan. Hadis Qudis ini menjadi pegangan hidup mereka dalam berbuat apa saja, iaitu: “Janganlah kamu pandang kecilnya kesalahan yang kamu buat, pandanglah kepada siapa kamu berbuat iaitu kepada Allah.” Sekecil-kecil kejahatan ada dosa dan nerakalah balasannya. Mereka menjadi orang yang memburu dan berlumba-lumba berbuat kebaikan. Dalam pada itu dosa kecil yang dilakukan, dirasakan seperti "gunung yang hendak menghempap kepala”. Pencinta, pemikir, petugas masyarakat dan siapa saja yang mengidamkan umat yang sejahtera, dua aspek ubat Rasulullah SAW ini sudah cukup untuk dijadikan sebagai modal mengubat penyakit sosial. Inilah modal asas dan utama yang boleh menjadi penyelesaian kepada apa jua jenis penyakit.

my collections


















Jumaat, 30 Januari 2009

Anak-anak kesayangan ku...

Kehidupan hari demi hari pasti berbeza. detik sekarang tidak akan menunggu dan tidak akan sama dengan detik yang akan datang dan yang telah berlalu. Tanpa kita sedari kita telah banyak melalui liku hidup susah mahupun senang.
Jika dulu, kita sukar untuk menerima kenyataan kegagalan...tetapi hari ini kita sudah mampu untuk berbangga sedikit dengan kurniaan Allah kepada kita. Anak ku syahrul kian membesar....tanpa aku sedari dia sudah hampir lupa dengan perkataan "CUNNU". Benarlah kata orang hanya jauhari mengenal manikam...hanya ibubapa yang lebih mengenal anak-anak mereka. Perkataan CUNNU adalah ganti nama pada kereta yang entah dari mana anak ku syahrul belajar. Suatu yang berbeza dari anak-anak lain yang menggunakan ganti nama kereta pada KETA, ETA dan lain-lain lagi yang hampir sama bunyinya dengan kereta.

Unik kan???syukur pada Allah kerana kedua-dua anak aku dilahirkan sempurna fizikal dan mental mereka. Cabaran sebagai ibubapa diawal usia muda memang memberikan tekanan yang tidak mampu dikawal sekiranya kita tidak pernah bersedia mengorbankan masa muda kita. Pada awal cabaran dulu, aku juga sering gagal memenuhi tanggungjawab ibubapa. Namun hari ini, aku sudah mampu mengawal semua tekanan itu...benar kata orang, Usaha tangga kejayaan. Apa yang penting....BERUSAHA. Jika tiada usaha, hari ini tetap sama dengan semalam dan hari esok tetap sama dengan hari ini....kerana esok tidak pernah menjanjikan apa-apa buat kita. Selagi kita tidak berubah, kita tetap disuatu tahap yang sama yang kian hari menyebabkan kita kian ketinggalan dan mundur.

Selasa, 27 Januari 2009

adakah kita bersyukur?






Lafaz pujian nikmat kehidupan perlu disertai kesedaran di dalam hati SUDAH menjadi lumrah ciptaan Allah, setiap manusia dijadikan tidak akan terlepas daripada menerima ujian walau pada saat mana sekali pun tanpa mengira tempat. Bentuk ujian diberi Allah ternyata berbeza di antara satu sama lain.Ada manusia diuji dengan musibah dan kesusahan seperti rakan kita yang dilanda tsunami dan ancaman gunung berapi. Pada masa sama, ada di kalangan kita yang diuji dengan kemewahan dan hidup bersenang-lenang.Kedua-dua bentuk ujian ini menuntut manusia untuk bersabar dan bersyukur. Sekiranya manusia ingkar untuk bersabar dan bersyukur, Allah mencabar golongan ini melalui sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud: “Sekiranya Aku menguji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan sekiranya Aku menguji kamu dengan kenikmatan, kamu tidak mahu bersyukur, maka keluarlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah kamu mencari tuhan yang lain.”Pada hakikatnya, apa saja pergolakan dan perubahan berlaku dalam hidup manusia ini tidak akan terlepas daripada dua bentuk ujian iaitu kesusahan dan kenikmatan. Sekali pandang, antara kedua-dua bentuk ujian ini, kita melihat bersabar itu lebih menuntut pengorbanan jika dibandingkan dengan bersyukur. Lazimnya manusia yang ditimpa musibah akan melalui kesusahan, keresahan, tekanan, penderitaan emosi dan jiwa bergelora. Sementara, bersyukur itu nampaknya mudah untuk dilaksanakan berbanding dengan bersabar kerana lazimnya manusia yang dilimpahi dengan kenikmatan dan kesenangan tidak mengalami tekanan dan penderitaan.Apabila kita menyelak helaian al-Quran, ternyata andaian kita kurang tepat kerana Allah berfirman di dalam surah As-sabar’ ayat 13 yang bermaksud: “Hanya sedikit dari kalangan hamba Ku yang bersyukur”. Kenyataan Allah ini sebenarnya memberi jawapan kepada kita bahawa bersyukur itu lebih sukar dibandingkan dengan bersabar.Bersyukur bukan semudah melafazkan ‘Alhamdulillah’ tetapi, setiap manusia yang dilimpahi nikmat bertanggungjawab untuk merealisasikan kesyukuran itu dalam semua aspek kehidupan yang meliputi setiap sendi anggota tubuhnya. Selain lidahnya tidak putus-putus melafazkan kalimah ‘Alhamdulillah’, hatinya juga perlu memperakui bahawa segala nikmat diterima itu adalah daripada Allah dan Allah boleh menarik balik nikmat itu pada bila-bila masa saja tanpa sebarang amaran.Tanpa kesedaran hati, lafaz dilakukan oleh lidah itu tidak memberi kesan apa-apa, bahkan ‘seolah-olah’ mempersendakan nikmat yang diterima itu. rasa bersyukur itu tidak terhenti setakat pengakuan lidah dan hati saja bahkan seluruh kekuatan fizikal dan material yang ada perlu dibuktikan agar kesyukuran itu benar-benar terjelma.Allah memberi kekayaan material, maka manusia perlu mensyukurinya dengan berbelanja pada jalan yang diredai Allah di samping membantu golongan lain yang tidak bernasib baik. Allah mengurniakan kesihatan dan kekuatan fizikal, maka ia perlu dijelmakan dengan pelaksanaan ibadat fizikal di samping mengorbankan tenaga yang ada untuk jalan kebaktian.Tahap kesyukuran ini perlu dilalui setiap manusia yang menerima kurniaan daripada Allah, tanpa menyandarkan segala kesenangan, kemewahan, kesihatan dan sebagainya itu sebagai milik dan usaha sendiri. Justeru, pentingnya manusia memahami betapa sukarnya untuk bersyukur ini, maka Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Sekiranya kamu bersyukur di atas segala nikmat yang telah Aku kurniakan, nescaya Aku akan menambah lagi nikmat Ku itu. Sebaliknya andai kata engkau kufur terhadap nikmat Ku, ingatlah sesungguhnya seksaan Ku teramatlah pedih.” Sekiranya kita meninjau tuntutan untuk melaksanakan sabar itu, tidaklah sehebat tuntutan yang diperlukan ketika bersyukur. Lazimnya manusia yang ditimpa musibah memilih bersabar kerana mereka tidak mempunyai banyak pilihan sama ada untuk pasrah dan bersabar di atas ketentuan Allah yang menimpa mereka atau mencabar keadilan Allah. Selagi manusia mempunyai iman di dalam hati, tidak mungkin mereka menafikan keadilan Allah yang memberi musibah dan kesusahan kepada mereka. Ternyata untuk melaksanakan syukur tidak semudah yang disangka, dan untuk melaksanakan sabar tidak sepayah yang diduga. Selagi manusia memilih untuk taat pada perintah Allah, mereka pasti mampu untuk mengimbangi tuntutan syukur dan sabar ini di dalam diri mereka.

Isnin, 26 Januari 2009

Pesanan Terakhir Rasulullah kepada kita semua...

salam semua....Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, Baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. "Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang."Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah
solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh."Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku."Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku."Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
sekadar mengingatkan diri dan kita semua...dan jika diamati....Rasulullah mengunakan istilah 'manusia'... maka ianya termasuk ke segenap kategori yang bergelar manusia.

BLOGERS

Foto saya
papar, sabah, Malaysia
ABEBEE.BLOGSPOT.COM khas untuk ISTERI ku yang tersayang FARIDA BT YUSUF, anak-anak ku SYAHRUL RAMADAN MOHD RAZIF dan SYAMSUL RIZWAN MOHD RAZIF...

my car

my car

RAYA 2007

RAYA 2007

raya 2008

raya 2008