Sabtu, 31 Januari 2009




jangan salahkan musuh...


“Jangan salahkan musuh. Itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah”


Musuh-musuh Islam memang tidak pernah sepi daripada menyerang dan menggugat akidah umat Islam. Mereka berusaha dengan pelbagai cara, kaedah dan saluran. Mereka menggunakan saluran politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, hiburan, media masa, filem dan sebagainya. Kalaupun tidak sampai memusnahkan akidah mereka tetap mahukan agar umat Islam ini sekurang-kurangnya bersikap acuh tak acuh kepada agamanya. Mereka sudah cukup berpuas hati sekiranya umat Islam ini bersikap ‘toleransi’ terhadap agama dalam erti kata tidak meninggalkannya secara total dan tidak pula menganutnya secara total. Agama dipilih mengikut selera dan dipraktikkan dalam acara tertentu sahaja. Agama hanya dijadikan aktiviti bermusim dan sebagai agenda persatuan atau pertubuhan untuk dimuatkan di dalam laporan tahunan. Kini umat Islam berdepan dengan masalah yang sangat ketara bahawa agama hanya sekadar pada nama,tanpa penghayatan dan bukan lagi menjadi suatu cara hidup. Cuba kita teliti dan hitung, dari mula bangun tidur hingga kembali kepada tidur, banyak mana ajaran Islam yang kita hayati. Banyak mana Islam dijadikan panduan dalam segala urusan hidup. Banyak mana kita membawa Tuhan bersama dalam mengendalikan segala urusan harian. Kalau tidak ada black metal, kehidupan kita tetap jauh dari Tuhan. Kalau bukan kerana black metal, hati kita tidak ada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Hati kita tetap cuai dan lalai bahkan sangat menderhakai Tuhan. Sebab itu jangan salahkan musuh. Itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah. Lemah dalam melawan nafsu serakah. Lemah dalam membawa Tuhan dalam urusan hidup. Akhirnya Tuhan biarkan umat Islam diratah-ratah, dibuli dan diperkotak-katikkan oleh musuh. Ini belum lagi diperhitungkan untung nasib di akhirat kelak. Entah di Neraka mana yang kita ini bakal dihumban lantaran terlalu amat derhaka kepada Allah SWT. Betapa tidak, jauh sekali umat Islam ini berjuang untuk membangunkan empayar, menguasai bumi yang merupakan milik Tuhan. Malah membenteng diri daripada ditembusi akidah dan budaya kufar pun tidak berupaya. Apabila Rasulullah SAW diutus, masyarakat yang dihadapi baginda SAW itu bukan sahaja mereka musyrik dan kufar, bahkan mereka juga turut dilanda masalah sosial yang amat dahsyat. Sebut saja apa jenis kejahatan manusia, semuanya mereka lakukan terang-terangan tanpa segan silu. Namun sejarah telah membuktikan, dalam tempoh yang singkat Rasulullah berjaya menukar sejahat-jahat manusia kepada ‘khairunnas’ - sebaik-baik manusia. Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang fitrahnya sama saja di zaman mana pun mereka berada dan di mana pun mereka berada, bangsa apa dan keturunan apa pun. Bagaimana dan ubat apa yang dipakai oleh Rasulullah SAW, maka cara dan ubat yang sama juga yang mesti digunakan untuk mengubati penyakit manusia, iaitu: Pertama: Rasulullah SAW menanamkan iman. Mengetahui Rukun Iman bukan bererti sudah beriman, mungkin itu sekadar boleh mengesahkan iman semata-mata. Keimanan yang berjaya ditanam ke dalam hati masyarakat waktu itu seperti digambarkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman, apabila disebut nama Allah gementar hati mereka.” Begitu takut dan gerun kepada Tuhan hingga gementar hati, yang mereka tidak lagi takut selain daripada Allah SWT. Mereka bukan saja tidak terjejas atau tidak terusik hatinya oleh sebarang budaya, bahkan mereka sendiri sanggup memperjuangkan Tuhan dan agama-Nya hingga tergadai nyawa. Kedua: Rasulullah SAW mencanangkan kehidupan akhirat yang jauh lebih baik dan utama. Sebenarnya tidak ada tandingan dan bandingan tentang kehidupan akhirat. Bermula dari alam barzakh maka bermulalah era baru kehidupan manusia yang bakal ditempuh adalah suatu alam baru tanpa dapat difikirkan dan dikhayalkan. Tiada sebarang imaginasi yang dapat mencapai alam akhirat. Segala-galanya adalah alam rasa yang akal tidak mampu untuk berfungsi sedikit pun. Kehidupan dunia ini umpama mimpi saja, seolah-olah bukan realiti jika dinisbahkan dengan kehidupan di akhirat. Satu hari di akhirat menyamai seribu tahun di dunia. Kehidupan yang kekal abadi tanpa penghujungnya. Usia kita yang sekitar 60 atau 70 tahun di dunia ini kalau dikira pada perjalanan masa di akhirat hanyalah beberapa minit saja. Menyedari hakikat bahawa hidup ini amat singkat berbanding akhirat yang kekal abadi itu, tentulah tidak ada manusia waras yang sanggup mensia-siakan hidup ini begitu sahaja. Apatah lagi, sudah tentulah takut untuk berbuat dosa dan maksiat walau sedetik. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya untuk kesedapan yang sekelumit ini. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya takut kepada penderitaan yang sekelumit ini. Tentulah tidak sanggup berlalai-lalai dengan kehidupan sekejap ini sehingga terpaksa menanggung derita yang amat panjang lagi dahsyat, dan terlepas dari nikmat syurga yang tidak dapat dibayangkan. Hadis Qudis ini menjadi pegangan hidup mereka dalam berbuat apa saja, iaitu: “Janganlah kamu pandang kecilnya kesalahan yang kamu buat, pandanglah kepada siapa kamu berbuat iaitu kepada Allah.” Sekecil-kecil kejahatan ada dosa dan nerakalah balasannya. Mereka menjadi orang yang memburu dan berlumba-lumba berbuat kebaikan. Dalam pada itu dosa kecil yang dilakukan, dirasakan seperti "gunung yang hendak menghempap kepala”. Pencinta, pemikir, petugas masyarakat dan siapa saja yang mengidamkan umat yang sejahtera, dua aspek ubat Rasulullah SAW ini sudah cukup untuk dijadikan sebagai modal mengubat penyakit sosial. Inilah modal asas dan utama yang boleh menjadi penyelesaian kepada apa jua jenis penyakit.

my collections


















Jumaat, 30 Januari 2009

Anak-anak kesayangan ku...

Kehidupan hari demi hari pasti berbeza. detik sekarang tidak akan menunggu dan tidak akan sama dengan detik yang akan datang dan yang telah berlalu. Tanpa kita sedari kita telah banyak melalui liku hidup susah mahupun senang.
Jika dulu, kita sukar untuk menerima kenyataan kegagalan...tetapi hari ini kita sudah mampu untuk berbangga sedikit dengan kurniaan Allah kepada kita. Anak ku syahrul kian membesar....tanpa aku sedari dia sudah hampir lupa dengan perkataan "CUNNU". Benarlah kata orang hanya jauhari mengenal manikam...hanya ibubapa yang lebih mengenal anak-anak mereka. Perkataan CUNNU adalah ganti nama pada kereta yang entah dari mana anak ku syahrul belajar. Suatu yang berbeza dari anak-anak lain yang menggunakan ganti nama kereta pada KETA, ETA dan lain-lain lagi yang hampir sama bunyinya dengan kereta.

Unik kan???syukur pada Allah kerana kedua-dua anak aku dilahirkan sempurna fizikal dan mental mereka. Cabaran sebagai ibubapa diawal usia muda memang memberikan tekanan yang tidak mampu dikawal sekiranya kita tidak pernah bersedia mengorbankan masa muda kita. Pada awal cabaran dulu, aku juga sering gagal memenuhi tanggungjawab ibubapa. Namun hari ini, aku sudah mampu mengawal semua tekanan itu...benar kata orang, Usaha tangga kejayaan. Apa yang penting....BERUSAHA. Jika tiada usaha, hari ini tetap sama dengan semalam dan hari esok tetap sama dengan hari ini....kerana esok tidak pernah menjanjikan apa-apa buat kita. Selagi kita tidak berubah, kita tetap disuatu tahap yang sama yang kian hari menyebabkan kita kian ketinggalan dan mundur.

Selasa, 27 Januari 2009

adakah kita bersyukur?






Lafaz pujian nikmat kehidupan perlu disertai kesedaran di dalam hati SUDAH menjadi lumrah ciptaan Allah, setiap manusia dijadikan tidak akan terlepas daripada menerima ujian walau pada saat mana sekali pun tanpa mengira tempat. Bentuk ujian diberi Allah ternyata berbeza di antara satu sama lain.Ada manusia diuji dengan musibah dan kesusahan seperti rakan kita yang dilanda tsunami dan ancaman gunung berapi. Pada masa sama, ada di kalangan kita yang diuji dengan kemewahan dan hidup bersenang-lenang.Kedua-dua bentuk ujian ini menuntut manusia untuk bersabar dan bersyukur. Sekiranya manusia ingkar untuk bersabar dan bersyukur, Allah mencabar golongan ini melalui sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud: “Sekiranya Aku menguji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan sekiranya Aku menguji kamu dengan kenikmatan, kamu tidak mahu bersyukur, maka keluarlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah kamu mencari tuhan yang lain.”Pada hakikatnya, apa saja pergolakan dan perubahan berlaku dalam hidup manusia ini tidak akan terlepas daripada dua bentuk ujian iaitu kesusahan dan kenikmatan. Sekali pandang, antara kedua-dua bentuk ujian ini, kita melihat bersabar itu lebih menuntut pengorbanan jika dibandingkan dengan bersyukur. Lazimnya manusia yang ditimpa musibah akan melalui kesusahan, keresahan, tekanan, penderitaan emosi dan jiwa bergelora. Sementara, bersyukur itu nampaknya mudah untuk dilaksanakan berbanding dengan bersabar kerana lazimnya manusia yang dilimpahi dengan kenikmatan dan kesenangan tidak mengalami tekanan dan penderitaan.Apabila kita menyelak helaian al-Quran, ternyata andaian kita kurang tepat kerana Allah berfirman di dalam surah As-sabar’ ayat 13 yang bermaksud: “Hanya sedikit dari kalangan hamba Ku yang bersyukur”. Kenyataan Allah ini sebenarnya memberi jawapan kepada kita bahawa bersyukur itu lebih sukar dibandingkan dengan bersabar.Bersyukur bukan semudah melafazkan ‘Alhamdulillah’ tetapi, setiap manusia yang dilimpahi nikmat bertanggungjawab untuk merealisasikan kesyukuran itu dalam semua aspek kehidupan yang meliputi setiap sendi anggota tubuhnya. Selain lidahnya tidak putus-putus melafazkan kalimah ‘Alhamdulillah’, hatinya juga perlu memperakui bahawa segala nikmat diterima itu adalah daripada Allah dan Allah boleh menarik balik nikmat itu pada bila-bila masa saja tanpa sebarang amaran.Tanpa kesedaran hati, lafaz dilakukan oleh lidah itu tidak memberi kesan apa-apa, bahkan ‘seolah-olah’ mempersendakan nikmat yang diterima itu. rasa bersyukur itu tidak terhenti setakat pengakuan lidah dan hati saja bahkan seluruh kekuatan fizikal dan material yang ada perlu dibuktikan agar kesyukuran itu benar-benar terjelma.Allah memberi kekayaan material, maka manusia perlu mensyukurinya dengan berbelanja pada jalan yang diredai Allah di samping membantu golongan lain yang tidak bernasib baik. Allah mengurniakan kesihatan dan kekuatan fizikal, maka ia perlu dijelmakan dengan pelaksanaan ibadat fizikal di samping mengorbankan tenaga yang ada untuk jalan kebaktian.Tahap kesyukuran ini perlu dilalui setiap manusia yang menerima kurniaan daripada Allah, tanpa menyandarkan segala kesenangan, kemewahan, kesihatan dan sebagainya itu sebagai milik dan usaha sendiri. Justeru, pentingnya manusia memahami betapa sukarnya untuk bersyukur ini, maka Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Sekiranya kamu bersyukur di atas segala nikmat yang telah Aku kurniakan, nescaya Aku akan menambah lagi nikmat Ku itu. Sebaliknya andai kata engkau kufur terhadap nikmat Ku, ingatlah sesungguhnya seksaan Ku teramatlah pedih.” Sekiranya kita meninjau tuntutan untuk melaksanakan sabar itu, tidaklah sehebat tuntutan yang diperlukan ketika bersyukur. Lazimnya manusia yang ditimpa musibah memilih bersabar kerana mereka tidak mempunyai banyak pilihan sama ada untuk pasrah dan bersabar di atas ketentuan Allah yang menimpa mereka atau mencabar keadilan Allah. Selagi manusia mempunyai iman di dalam hati, tidak mungkin mereka menafikan keadilan Allah yang memberi musibah dan kesusahan kepada mereka. Ternyata untuk melaksanakan syukur tidak semudah yang disangka, dan untuk melaksanakan sabar tidak sepayah yang diduga. Selagi manusia memilih untuk taat pada perintah Allah, mereka pasti mampu untuk mengimbangi tuntutan syukur dan sabar ini di dalam diri mereka.

Isnin, 26 Januari 2009

Pesanan Terakhir Rasulullah kepada kita semua...

salam semua....Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, Baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. "Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang."Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil."Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah
solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh."Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku."Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku."Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
sekadar mengingatkan diri dan kita semua...dan jika diamati....Rasulullah mengunakan istilah 'manusia'... maka ianya termasuk ke segenap kategori yang bergelar manusia.

BLOGERS

Foto saya
papar, sabah, Malaysia
ABEBEE.BLOGSPOT.COM khas untuk ISTERI ku yang tersayang FARIDA BT YUSUF, anak-anak ku SYAHRUL RAMADAN MOHD RAZIF dan SYAMSUL RIZWAN MOHD RAZIF...

my car

my car

RAYA 2007

RAYA 2007

raya 2008

raya 2008